Slider

'Peningkatan gaji penting untuk kawal gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam' - UMNO Putrajaya sokong perjuangan Cuepacs



Senada dengan Cuepacs, UMNO Putrajaya menggesa kerajaan mempertimbangkan semula janji Barisan Nasional (BN) pada PRU14 yang mahu melaksanakan kenaikan gaji tahunan untuk penjawat awam di negara ini. 


Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya yang dipengerusikannya telah sebulat suara menyokong cadangan Cuepacs yang menuntut gaji penjawat awam dinaikkan. 


Ini kerana, langkah tersebut dilihat dapat membantu meringankan beban penjawat awam dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang tidak dapat dielakkan. 


"Sudah lama penjawat awam menggunakan skim gaji yang lama, yang tiada penambahbaikan dan semakan gaji kerajaan sejak sekian lamanya. Kali terakhir penetapan gaji minimum pada takat RM1,200 sebelum diperkenal pada tahun 2013. 


"Pemberian kenaikan gaji kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan di bawah sistem saraan Malaysia kali terakhir pula hanya dilaksanakan pada 15 tahun yang lalu.


"Peningkatan gaji adalah penting untuk membantu kawalan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam. Kenaikan gaji tahunan yang dijanjikan BN ketika PRU14 adalah wajar dipertimbangkan semula untuk menjaga kebajikan penjawat awam," katanya. 


UMNO Putrajaya memberi sokongan penuh terhadap Cuepacs untuk memperjuang kepentingan penjawat awam di seluruh negara. Selain itu, pihaknya turut meminta kerajaan mengkaji semula gaji dan elaun kakitangan awam sejajar dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup. 


Dalam mesyuarat itu, UMNO Putrajaya juga akan turun berpiket bersama Cuepacs sekiranya ia diadakan.


Sumber: Free Malaysia Today

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo