Slider

R Subramaniam didakwa semula atas pertuduhan membunuh pengawal keselamatan Ismail Ahmad



R Subramaniam, 41, yang terdahulu mengaku bersalah di atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap pengawal keselamatan, Ismail Ahmad, 58, hari ini dihadapkan sekali lagi ke mahkamah atas pertuduhan membunuh selepas mangsa meninggal dunia semalam. 


Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. 


Ismail Ahmad yang dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak Khamis lalu dilaporkan meninggal dunia pada jam 6 petang semalam. 


R Subramaniam bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan dan hanya sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Fazlina Musa. 


Mengikut pertuduhan, R Subramaniam yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail dalam kejadian di pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan pada 4.40 petang, 4 Ogos 2022. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Arthini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 


Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo