Slider

Remaja 18 tahun didakwa merogol & merompak wanita di hotel Melaka

Foto Harian Metro



Seorang remaja berusia 18 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh semalam atas tiga pertuduhan merogol, merompak sehingga mendatangkan kecederaan dan melakukan persetubuhan luar tabii di sebuah hotel pada awal Ogos. 


Tertuduh, K P Suren, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin. 


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa berusia 34 tahun tanpa kerelaan dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK), jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan. 


Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan wang tunai RM100 dan telefon bimbit milik mangsa dan sengaja mencederakan wanita terbabit. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat. 


Bagi pertuduhan ketiga, Suren didakwa merogol mangsa tanpa kerelaan pada masa yang sama sebelum menyebabkan kecederaan kepadanya dan dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(a) KK yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat jika didapati bersalah. 


Kesemua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah hotel di Taman Paya Rumput Utama pada jam 1.11 pagi hingga 1.20 pagi, 3 Ogos lalu. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang tidak menawarkan jaminan dan hanya memohon ditetapkan RM40,000 bagi setiap pertuduhan jika mahkamah membenarkan jaminan. 


Peguam tertuduh, Suresh Balakrishnan bagaimanapun merayu agar mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin pada kadar paling minimum dengan penjamin iaitu abang kepada tertuduh yang hanya bekerja di kilang dengan pendapatan bulanan RM1,100. 


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 7 September depan untuk serahan dokumen. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo