Slider

Remaja maut terbakar dalam tandas dek 2 rakannya bermain api



Tindakan dua remaja lelaki berusia 15 tahun bermain api dengan niat bergurau telah menyebabkan seorang rakan mereka rentung terbakar dalam tandas awam. 


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 2.38 petang semalam di Bandar Puncak Alam Fasa 3. 


Menurut rakan mangsa iaitu dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, ketika kejadian mereka sedang berbaring melepak di atas sofa di dalam tandas berkenaan sambilo bermain permainan telefon bimbit.


Mangsa, Muhammad Damin Mikhail Kansol, 16, pula sedang tidur di atas sofa di depan pintu tandas sebelum rakan mangsa menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau sebelum api menjadi tidak terkawal.


Selepas asap menjadi semakin tebal dan api semakin besar, dua rakan mangsa berlari keluar dari tandas, mereka sempat menyuruh mangsa keluar dari tandas. Malangnya, mangsa yang dalam keadaan separa sedar selepas terjaga dari tidur, melarikan diri ke dalam tandas. 


Melihat api yang tidak dapat dikawal, dua rakan mangsa cuba membantu memadamkan kebakaran, namun api menjadi semakin besar dan gagal dipadamkan sehingga pihak bomba tiba di lokasi kejadian, menemui mayat mangsa dalam keadaan badannya melecur. 


Siasatan mendapati, tiada sebarang objek yang menghalang mangsa keluar dari lokasi kejadian. Tandas yang terbakar itu juga tidak mempunyai pintu. 


Polis mengesahkan tandas awam tersebut sudah lama tidak digunakan dan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu. 


Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat. 







Sementara itu, seorang rakan mangsa, Naufal, 15, berkata, Muhammad Damin Mikhail sejak kebelakangan ini rapat bersama dua kenalannya itu dan sering bermain sepak takraw bersama. 


"Mereka sering bergerak dalam kumpulan dan kerap melepak bersama terutama sejak akhir-akhir ini memandangkan mereka baru sahaja rapat. Jarang ada yang lepak di kawasan tandas itu kerana ia sudah lama terbiar dan tiada air di dalamnya. 


"Kami (penduduk setempat) hanya berada di kawasan ini untuk bermain futsal yang terletak bersebelahan dengan tandas itu, namun kami tidak lepak di tandas berkenaan," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo