Slider

'Saya tak pakai songkok dengan seluar dalam seksi' - kata pereka fesyen lokal, tapi Menteri minta pihak berkuasa ambil tindakan terhadapnya



Seorang pereka fesyen tempatan yang terbabit dalam Kuala Lumpur Fesyen Week (KLFW) 2022 baru-baru ini dengan menampilkan dirinya memakai songkok dengan pakaian tak cukup kain, mengundang kemarahan orang ramai. 


Netizen menganggap tindakannya itu bukan sahaja mempersendakan bangsa Melayu Islam yang sinonim dengan pemakaian songkok, malah dilabelkan sebagai kurang ajar dan merosakkan fesyen budaya orang Melayu. 


"Sama macam pakai tudung dengan skirt pendek, biadab ke tak? Lutut tu pun dah aurat bagi lelaki muslim. Boleh pulak dia pakai songkok dengan pakaian mendedahkan aurat lelaki," kata netizen. 


Bagaimanapun, pereka fesyen berkenaan, Kel Wen, tampil mempertahankan diri dan memberi penjelasannya bahawa dia tidak berniat mempersendakan bangsa Melayu dan agama Islam. 



"Saya baca komen awak semua. Saya tiada niat nak mempersenda mana-mana agama. Islam adalah indah dan membesar di kalangan orang Islam di Malaysia secara tidak langsung mempengaruh seni dan gaya saya. 


"Ini adalah nota kepada haters yang tak nak buat kaji selidik sendiri. Tak perlu terima (fesyen yang ditampilkan) sebab gaya ini masih belum boleh 'biasa' dalam fesyen lelaki tempatan. 


"Tetapi jaga mulut kalau nak jadikan diri itu sebagai contoh kepada yang lain. Untuk menjadi seperti itu, bukan hanya pemakaian saja yang dinilai, tetapi juga pada apa yang anda tuturkan," katanya.



Mengulas lanjut mengenai isu yang dibangkitkan, Kel Wen merasakan fesyen yang digayakannya pada acara KLFW 2022 tidak keterlaluan seperti yang didakwa netizen. 


"Saya tak pakai songkok dengan seluar dalam yang seksi atau mendedahkan mana-mana bahagian sensitif badan saya yang menunjukkan kebogelan. 


"Saya hanya menunjukkan lutut seperti kebanyakan lelaki Melayu di luar sana yang menjadi fesyen pada hari ini. Pakai songkok dan nampak lutut adalah sama konsep dengan wanita berhijab yang memakai tudung tetapi leher terkeluar," ujarnya. 



Tambahnya, asal usul songkok bukanlah berasal dari masyarakat Melayu. Menurut pengetahuannya, songkok itu diperkenalkan oleh umat Islam India pada abad ke-19 dan menegaskan orang Melayu tidak memakai songkok pada zaman Kesultanan Melaka, sebaliknya orang Melayu pada zaman itu hanya memakai kain sarung dan topless. 


"Saya bukan Islam, tetapi memakai songkok menandakan saya menerima dan mempelajari agama dalam gaya hidup peribadi saya sendiri. 


"Jika anda tidak boleh menerima, ia bermakna anda rasis dan itulah masalah sebenarnya di sini," tegasnya. 



Berdasarkan pemerhatian di gambar yang dimuat naik di Instagramnya itu, terdapat beberapa selebriti yang menyukai kenyataannya itu. Namun di ruangan komen, netizen menyelar tindakannya yang cuba menegakkan benang yang basah. 


Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad menyelar tindakan Kel Wen yang memakai songkok sambil dipadankan dengan pakaian menjolok mata di KLFW 2022. 


"Masyarakat Islam kita cukup marah dan kecewa. Sempadan batas agama, sensitiviti keagamaan dan kaum usah dibuat bahan mainan. 


"Usahlah kita berperilaku yang melanggar ajaran agama, adat ketimuran dan tatasusila," katanya melalui kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini. 



Dalam masa sama, Idris menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Kel Wen agar perbuatan biadab seperti itu dapat dibendung segera dan menjadi pengajaran kepada semua pihak. 


Sumber: Instagram Kel Wen, Facebook Idris Ahmad

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo