Slider

Selepas 'disembur' netizen, kerajaan setuju tetapkan harga minyak masak botol RM34.70 di Sabah & Sarawak

Foto Hiasan Sahaja



Harga siling minyak sawit botol lima kilogram untuk Sabah, Sarawak dan Labuan ditetapkan RM34.70 sama seperti di Semenanjung, berkuat kuasa pada 8 Ogos.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, berkata turut ditetapkan ialah harga siling minyak masak botol bagi satu kilogram pada harga RM7.70, botol dua kilogram (RM14.70) dan botol tiga kilogram (RM21.70).


Beliau berkata, mekanisme penetapan harga siling itu dibuat bersandarkan simulasi harga jualan minyak masak tulen di peringkat peruncit, dengan mengambil kira perkembangan semasa minyak sawit mentah (CPO) di pasaran global.


“Bagaimanapun, penetapan harga siling juga mengambil kira beberapa aspek kos luar jangka seperti logistik, termasuk situasi dialami segelintir peruncit untuk menghabiskan bekalan minyak masak tulen yang dibeli dengan harga lama,” katanya dalam kenyataan.


Nanta berkata, penetapan harga siling secara bulanan bagi minyak masak botol tidak bersubsidi mengikut harga purata CPO bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya diputuskan pada mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, semalam.


“Harga purata bulanan CPO ditentukan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada 1 hari bulan setiap bulan diikuti pengumuman harga siling minyak masak tulen kemasan botol bagi bulan tersebut berkuat kuasa pada setiap 8 hingga 7 hari bulan pada bulan berikutnya,” katanya.


Semalam, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa, berkata minyak masak sawit botol itu akan dijual pada harga RM34.70 bulan ini bermula 8 Ogos dan harga berkenaan hanya berkuat kuasa untuk Semenanjung.


Sementara itu, Nanta berkata, perintah larangan mengeksport minyak masak tulen tidak bersubsidi dalam semua bentuk polibeg diwartakan semalam untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan pengeksport di samping meningkatkan keberkesanan pemantauan bagi mengurangkan ketirisan.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo