Slider

'Semasa ditahan, dia pakai seluar dalam wanita itu'- Lelaki dipenjara 24 bulan kerana mencuri pakaian dalam wanita



Mahkamah Majistret Kota Kinabalu semalam menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah mencuri pakaian dalam wanita, minggu lalu, lapor Harian Metro.


Majistret Jessica Ombou Kakayun menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh berusia 39 tahun mengaku bersalah ke atas pertuduhan tersebut yang dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. 


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga duda didakwa mencuri pakaian dalam wanita di Taman Puncak, Menggatal pada jam 1.39 pagi, 11 Ogos 2022. 


Ketika melakukan kesalahan itu, tertuduh tidak menyedarinya aksinya sedang menjolok pakaian dalam mangsa menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah, dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).


13 Ogos 2022, tertuduh ditahan di kediamannya dan pemeriksaan polis berjaya menemui 10 jenis pakaian dalam wanita dalam simpanannya. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Albert Basiri yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan perbuatan tertuduh adalah tidak bertanggungjawab dan kes ini melibatkan kepentingan awam khususnya wanita. 


"Semasa ditahan, tertuduh didapati memakai seluar dalam wanita itu. Tertuduh juga mengaku bahawa dia berada dalam keadaan sedar dan waras ketika melakukan jenayah itu untuk memuaskan nafsunya," katanya. 


Bagaimanapun, peguam Nabila Norsahar dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya sudah mengaku bersalah dan menyesal di atas perbuatannya itu. Malah, tertuduh juga sudah bercerai dan mempunyai dua anak, selain tidak bekerja. 

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo