Slider

Staff Jabatan Laut buat claim OT palsu (RM670.51), didakwa di Mahkamah



Seorang kakitangan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Selatan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu kerja lebih masa dan elaun perjalanan berjumlah RM670.51, dua tahun lalu. 


Tertuduh, Hazreen Mohd, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail. 


Mengikut pertuduhan, Hazreen Mohd selaku Pembantu Laut Gred A22 (memangku) dengan niat telah memperdayakan majikannya dengan satu dokumen tuntutan bayaran lebih masa bagi April 2020 berjumlah RM359.41. 


Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak itu sekali lagi melakukan perkara yang sama membabitkan Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Dalam Negeri bagi April 2020 berjumlah RM311.10 untuk penjalanan tugas rasmi ke rumah api antara 2 April 2020 hingga 30 April 2020. 


Lapor Harian Metro, tertuduh didakwa membuat tuntutan lebih masa dan elaun perjalanan bagi Tugasan Penjagaan Rumah Api Bukit Segenting, Batu Pahat bagi pemantauan, pembersihan dan kawalan keselamatan. Namun, tertuduh tidak melaksanakan tugas itu, sekali gus bertujuan untuk mengelirukan majikannya. 


Tertuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Laut Batu Pahat pada Mei 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama di mana tertuduh berdepan dengan hukuman penjara 20 tahun maksima dan denda lima kali ganda nilai yang terbabit atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika disabitkan bersalah. 


Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin berkata, kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin, tetapi mencadangkan jaminan RM10,000 sekiranya mahkamah membenarkannya diikat jamin. 


Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula, memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan dia hanya menerima separuh gaji dan digantung tugas bermula hari ini. 


Selain menyara isterinya yang tidak bekerja, dia juga perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah dan seorang lagi anak yang masih kecil. 


"Saya juga menyara isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang mana dua masih bersekolah, serta seorang masih kecil. 


"Bapa saya juga baru meninggal dunia pada Mei lalu dan kini saya menanggung beban hutangnya, selain saya masih tinggal bersama ibu kerana emosi terganggu," katanya yang sudah berkhidmat selama sembilan tahun di jabatan tersebut. 


Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan mengarahkan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. 


Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. 

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo