Slider

Tak puas hati kena hon, punca suspek pecahkan cermin kereta pemandu wanita



Lelaki yang memecahkan cermin dan mengugut seorang pemandu wanita dalam kejadian Khamis lalu di Simpang Empat Limbat, telah berjaya ditahan polis. 


BACA: (Video) 'Bukak pintu ni woi!' - Lelaki pecahkan cermin kereta & ugut pemandu wanita


Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di kediamannya di Nilam Puri, pada jam 6.30 petang kelmarin.


Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK dan Seksyen 427 KK. 


Semakan mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah. Pisau yang digunakan suspek pada hari kejadian turut dirampas. Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. 


Siasatan awal juga mendapati, suspek bertindak menghalang laluan pemandu wanita berusia 35 tahun pada hari kejadian kerana bengang dengan tindakan mangsa membunyikan hon lalu keluar memecahkan cermin dan mengugut mangsa.


Namun, dalam video tular mangsa menjelaskan suspek memandu tidak tentu arah menyebabkan dia sukar untuk memotong sebelum diserang oleh suspek. 


Justeru, Muhamad Zaki memberi peringatan kepada orang ramai bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan pembuli jalanan. Sekiranya didapati berbuat demikian, mereka akan ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo