Slider

'Tak salah pihak luar bantu orang miskin di Kelantan, tapi janganlah masyarakat hentam kerajaan/pemimpin Kelantan' - Timb. MB



Kerajaan Kelantan tidak menghalang mana-mana pihak menyalurkan bantuan kepada masyarakat daif dan miskin di negeri itu terutama ekoran kisah yang tular menerusi media sosial.


Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pihak terlibat untuk berbuat baik kepada rakyat di negeri itu, malah tindakan berkenaan juga secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri.


Dia bagaimanapun berharap pihak yang ingin menyalurkan bantuan agar menyelidik serta meneliti terlebih dahulu individu mahupun keluarga yang ingin dibantu bagi mengelak sebarang perkara tidak sahih.


“Kita tidak halang mana-mana pihak untuk berbuat baik membantu masyarakat tetapi jangan disebabkan bantuan yang disalurkan itu masyarakat menghentam kerajaan negeri serta pemimpin (kononnya tidak cakna)… itu tidak boleh.


“Kalau rakyat mahu kritik (kerajaan negeri), kritik mengikut kematangan tetapi jangan disebabkan seseorang menyalurkan bantuan, kita tidak nampak kebaikan yang dibuat oleh orang lain,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Kelantan oleh Menteri Besar Ahmad Yakob di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu hari ini.


Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Abdullah Ya'kub, exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan.


Terdahulu, Mohd Amar diminta mengulas mengenai gambar tular seorang warga emas bersama isteri serta anaknya yang mengutip barangan lusuh menggunakan kereta tolak di Tumpat, sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat terutama netizen.


Kejadian tular itu turut menyebabkan Adun Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat menerima tempias kononnya tidak cakna dengan masyarakat setempat sedangkan keluarga itu telah menerima pelbagai bantuan termasuk bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan rumah sumbangan kerajaan Persekutuan sejak 12 tahun lepas.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo