Slider

Tinggalkan 3 anak kecil di rumah tanpa jagaan, ibu hamil didakwa di mahkamah

Foto Meor Riduwan Meor Ahmad | Harian Metro


Seorang wanita hamil didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas dua pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya sehingga mendatangkan risiko kecederaan tahun lalu. 


Bagaimanapun, tertuduh, Masanizah Roslan, 40, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin. 


Mengikut pertuduhan pertama, pembantu am sekolah itu didakwa cuai kerana meninggalkan tiga anaknya berusia 6, 8 dan 11 t ahun tanpa jagaan yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi. 


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana pada 25 Mei hingga 23 September 2021. 


Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan serupa terhadap tiga anak kandungnya di tempat yang sama pada 16 Jun hingga 18 Jun 2021. Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari, yang menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan. Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana pendapatan bulanannya kecil dan mengalami alahan. 


Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 September untuk serahan dokumen dan lantikan peguam bela. 


Kes ibu hamil ini mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan keberadaan suaminya ketika kejadian. 


"Kenapa ibu sahaja yang didakwa sedangkan dia meninggalkan anak-anaknya untuk bekerja. Suaminya di mana?" kata Nia Fridani. 


"Undang-undang apa ni siap bergari? Mana si suami, tak kena tindakan apa-apa ke? Atau halimunan seperti kapal LCS?" kata Eyla. 


"Mungkin puan ini ada masalah kewangan. Nak tinggalkan anak di rumah pengasuh, tak ada duit nak bayar. Terpaksa  tinggalkan anak-anak di rumah begitu sahaja sebab dia perlu bekerja. Wallahualam," kata Entelo.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo