Slider

(Video) 'Driver tiba-tiba masuk laluan bertentangan' - 1 maut, 1 parah dalam kemalangan 3 kenderaan di Jalan Sungai Choh

Foto Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa



Tiga buah kenderaan dilaporkan terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Choh hari ini menyebabkan seorang maut dan enam mangsa lain mengalami kecederaan termasuk seorang mangsa parah. 


Mangsa yang dilaporkan maut adalah Rohana Mohd Noor, 66, dan Norfarhanah Rahim, 34, pula mengalami kecederaan parah. 


Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam yang memaklumkan mengenai kemalangan itu pada jam 6.51 petang Ahad dan mengerahkan tujuh anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa ke lokasi kejadian. 


Tiba di lokasi, anggota mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan sebuah Perodua Axia.





"Terdapat dua mangsa wanita di dalam salah sebuah Perodua Alza. Seorang daripadanya parah, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya. 


Mangsa, Norfarhanah Rahim, yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Selayang, manakala mangsa yang meninggal dunia, Rohana Mohd Noor diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 


Lima lagi mangsa lain yang menaiki dua kereta lagi hanya mengalami kecederaan ringan telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi. 


Video kejadian yang diperolehi dari kamera papan pemuka milik seorang saksi kejadian turut tular di media sosial. 




Berdasarkan video berdurasi 22 saat itu menunjukkan, pemandu Alza secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan di laluan tersebut. 


Di media sosial, netizen percaya pemandu terbabit berkemungkinan besar terlelap ketika memandu (macro sleep). 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo