Slider

(Video) Rider maut, dirempuh pemandu Hilux yang langgar lampu isyarat merah



Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta Toyota Hilux dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor - Pasir Mas, semalam, lapor Kosmo Online.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, mangsa, Mohamad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan patah kaki kiri. 


Siasatan mendapati, kira-kira jam 1.25 petang, mangsa menunggang motosikalnya dari arah Tendong menghala ke Jalan Kedai Mulong sebelum berhenti di persimpangan itu. 


Sebaik saja lampu isyarat bertukar hijau, mangsa meneruskan perjalanan dan dalam masa yang sama sebuah kereta Toyota Hilux yang dipandu laju dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas nekad melanggar lampu isyarat merah. 


Akibat dari  tindakan tidak bertanggungjawab pemandu itu, mangsa telah dirempuh dan tercampak kira-kira 20 meter dari motosikalnya. 


Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, yang datang ke lokasi mengesahkan mangsa yang berasal dari Kampung Kutan Hulu, Tumpat, telah meninggal dunia. Manakala, pemandu dan tiga penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan. 


Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan pemandu terbabit akan didakwa di mahkamah kerana kecuaian melanggar lampu isyarat merah. 





Video rakaman kamera papan pemuka saksi di lokasi kejadian turut tular di media sosial. Majoriti netizen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu terbabit yang jelas sekali melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kematian mangsa. 

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo