Slider

Wanita saman rakan sekerja sebab peluk terlalu kuat sehingga menyebabkan 3 tulang rusuknya patah



CHINA - Baru-baru ini seorang wanita mengheret rakan sekerjanya ke mahkamah, selepas mendakwa lelaki itu telah memeluknya terlalu kuat sehingga menyebabkan tiga tulang rusuknya patah dalam kejadian yang berlaku pada Mei 2021.


Semasa kejadian, mangsa yang berasal dari bandar Yueyang, Huna, sedang berbual dengan rakannya di tempat kerja. Tidak beberapa lama kemudian, tertuduh (rakan lelaki) datang menyapa dan memeluknya dengan terlalu kuat sehingga menyebabkan mangsa menjerit kerana  berasa sakit di bahagian dada.


Selepas habis waktu bekerja, dadanya masih terasa sakit.  Tetapi mangsa tidak pergi ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan. Sebaliknya dia pulang ke rumah dan hanya menyapu minyak panas di dada sebelum tidur. 


Lima hari selepas kejadian itu, dada mangsa terasa semakin sakit dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk pergi menjalani pemeriksaan di hospital. 


Imbasan X-ray menunjujkkan tiga tulang rusuknya patah, dua di sebelah kanan, manakala satu lagi di bahagian kiri. Mangsa terpaksa mengambil cuti panjang yang menyebabkan dia kehilangan pendapatan. Selain itu, wang simpanannya telah banyak digunakan untuk membiayai bil perubatan dan perkhidmatan jururawat.. 


Dalam masa yang sama, mangsa dikatakan telah pergi berjumpa dengan tertuduh untuk berbincang tetapi mereka gagal mencapai jalan penyelesaian. Ini kerana tertuduh menegaskan mangsa tidak mempunyai bukti yang menunjukkan pelukan itu membuatkan tulang rusuknya patah. 


Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim membuat keputusan bahawa tertuduh perlu membayar sebanyak 10,000 yuan (RM6,548) kepada mangsa sebagai pampasan kerana tidak sengaja mematahkan tulang mangsa dengan pelukan kuat itu.. 


Walaupun kecederaan yang dialami mangsa hanya diketahui selepas lima hari kemudian, mahkamah menjelaskan tiada bukti menunjukkan mangsa mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti yang boleh menyebabkan tulang rusuknya patah. Tambahan, terdapat keterangan dari saksi rakan sekerja yang mengesahkan mangsa menjerit dan menahan kesakitan selepas dipeluk tertuduh. 


Kisah itu mencetuskan perdebatan di media sosial China. Tetapi kebanyakan orang menyatakan rasa simpati terhadap keadaan mangsa dan menasihati orang lain untuk berpada-pada ketika memeluk kenalan masing-masing.. 


Sumber: Oddity Central

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo