Slider

9 pelajar senior belasah & tekap seterika panas pada pelajar junior kerana bercakap dengan teman wanita suspek, didakwa di mahkamah



Sembilan pelajar yang terbabit dalam kes buli sehingga mencederakan pelajar junior di sebuah sekolah asrama pada Jun lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan semalam.


Kesemua pelajar lelaki berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Faizah Muahmad Saleh. 


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa berusia 14 tahun di bilik asrama sebuah sekolah menengah di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan pada jam 12.30 tengah malam, 23 Jun 2022. 


Dalam kejadian itu, mangsa dibelasah secara beramai-ramai dan dicedera menggunakan seterika panas pada badannya. 


Mangsa kemudian menghubungi ibunya dan mengadu sakit di bahagian pinggang sebelum dibawa ke hospital. 


Siasatan polis mendapati, mangsa dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior terbabit yang cemburu melihatnya berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga teman wanita kepada salah seorang pelajar senior berkenaan.


Akibat kejadian itu, mangsa mengalami retak tulang rusuk belakang, cedera tisu lembut pada betis kanan, dada, belakang, kedua lengan, dagu dan pipi. Selain itu terdapat kesan melecur ditekap seterika di bahagian badan sebelah kanan.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azalea Sharmeen Zaizan, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan S. Francis. 


Mahkamah membenarkan setiap tertududh dijamin sebanyak RM2,000 ke atas dan menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes. 


Sumber: Bernama, Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo