Slider

Ada kanak-kanak yang tinggal di PPR hanya minum susu jenama murah atau makan telur sahaja

Foto hiasan sahaja



Kajian telah menunjukkan ramai golongan M40 yang mempunyai pendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 telah beralih kepada B40 akibat pandemik Covid-19, manakala mereka yang berada dalam kategori miskin bandar pula terpaksa ‘ikat perut’ demi survival pasca.


Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2020 juga menunjukkan seramai 9.76 juta atau 30 rakyat Malaysia menga­lami masalah kekurangan makanan akibat tekanan ekonomi.


Seramai empat juta daripada jumlah itu merupakan kanak-kanak yang terpaksa bergantung kepada jumlah makanan yang murah dan terhad.


Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Syarifa Ezat Wan Puteh berkata, kajian yang dilakukan pihaknya pula mendapati, kanak-kanak yang menetap di kediaman


Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah golongan paling terkesan dalam masalah nutrisi.


Katanya, isu nutrisi sememang­nya telah berlaku ketika prapandemik, namun kini faktor penyumbang bukan lagi tertumpu kepada keculasan terhadap vaksin kanak-kanak yang menyebabkan pola pemakanan berganda, namun langkah ‘ikat perut’ oleh ibu bapa.


“Kajian 2018 yang dilakukan terhadap 250 kanak-kanak berumur 2 sehingga 7 tahun yang menetap di PPR di Kuala Lumpur menghadapi isu nutrisi, 28.1 pera­tus terbantut akibat isu nutrisi akut, nutrisi kronik (16.4 peratus) dan kegemukan (15.6 peratus).


“Namun, pada pasca pandemik ini, jumlah mereka yang beralih kepada makanan murah meningkat dengan mendapatkan sumber zat daripada telur, nasi dan makanan segera.


“Makanan-makanan ini boleh mengenyangkan, namun ia tidak mengandungi zat yang diperlukan badan. Selain itu, golongan yang menetap di PPR ini juga tidak berkemampuan membeli buah-buahan,” katanya ketika dihubungi.


Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan, Pertubuhan Solidaritas yang masih aktif me­nyalurkan kit makanan kepada golongan B40 turut mendedahkan situasi ikat perut itu sering berlaku kepada mereka yang mempunyai ramai anak-anak atau bayi.


Pengerusinya, Muhammad Najib Anuar memberitahu, langkah itu dibuat oleh ketua keluarga bagi memastikan setiap komitmen khususnya pinjaman bank dapat dilunaskan dan mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dikenakan.


“Pada tahun 2020 dan 2021, rata-rata penerima mengadu mereka telah terputus dan me­ngalami masalah bekalan makanan, malah lebih separuh tidak dapat menikmati ayam lebih dari sebulan kerana masalah kewa­ngan, namun ketika itu kerajaan menawarkan moratarium.


“Selepas beralih kepada pasca pandemik dan tempoh moratorium tamat, mereka yang mempunyai komitmen pinjaman perlu mula membayar semula dalam keadaan kewangan tidak kukuh, susulan itu isu nutrisi makanan ini berlarutan, terutama keluarga yang mempunyai anak-anak ramai atau bayi,” katanya.


Ujarnya, secara keseluruhan sebanyak RM50,000 telah di­salurkan dengan 80 peratus me­rangkumi keperluan bayi terma­suk susu dan lampin.


“Namun, kebanyakan golo­ngan miskin bandar ini beritahu, mereka memang memberikan anak-anak susu tepung daripada jenama murah, begitu juga de­ngan makanan yang ada di dapur rumah masing-masing, biasanya menu mereka adalah telur yang dipelbagaikan jenis masakan.


“Kita cuma berharap, keluarga yang diberikan bantuan bekalan asas ini dapat menggunakan lebihan kos dapur dengan membeli makanan berzat seperti buah-buahan dan sayuran untuk keluarga mereka,” katanya.


Sumber: Kosmo Online (Diyanatul Atiqah Zakarya)

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo