Slider

Habitat terganggu & kurang sumber makanan, punca buaya mula sasar manusia untuk dijadikan makanan

Foto sekadar hiasan sahaja | Kosmo Online



Kehilangan habitat dan kekurangan sumber makanan bersaiz besar berkemungkinan antara sebab serangan buaya semakin meningkat di Sabah.


Prof Benoit Goossens, seorang ahli Suruhanjaya Kemandirian Khas Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) berkata, walaupun membunuh beberapa buaya di sesuatu kawasan boleh menimbulkan rasa selamat kepada pengguna sungai, buaya baharu akan menggantikan reptilia yang mati itu dan bahaya akan berterusan.


Goossens yang juga Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) berkata, lebih banyak kesedaran diperlukan di kawasan yang mempunyai populasi buaya yang tinggi dengan menganjurkan bengkel bersama masyarakat tempatan dan pekerja ladang yang memancing di sepanjang Sungai Kinabatangan.


"Bagi saya, faktor yang menyebabkan konflik manusia-buaya ialah kehilangan habitat dan kekurangan mangsa besar seperti babi hutan akibat wabak selesema babi Afrika. Buaya besar yang menyerang manusia biasanya memakan mangsa bersaiz besar seperti khinzir dan rusa.


"Apabila populasi babi hutan kembali (ada), kita perlu mencadangkan kepada orang ramai agar mengelak mandi di sungai utama yang ada kehadiran buaya dan tidak memancing di tebing sungai selama berjam-jam, kerana buaya ialah pemangsa serang hendap," katanya kepada Bernama.


Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan bahawa Sabah perlu mengeluarkan permit untuk memburu buaya secara terkawal bagi menangani isu populasi reptilia itu yang tinggi di Sabah.


Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag turut mendesak kerajaan negeri untuk mewujudkan peraturan atau pengawalan terhadap penghapusan dan pemburuan buaya secara komersial, sama seperti yang dilakukan di Sarawak.


Beliau membuat saranan itu susulan kematian melibatkan seorang wanita yang diserang oleh seekor buaya di daerah Kinabatangan pada 30 Julai lepas.


Pada 11 September, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai kepala mangsa yang dipercayai disambar buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntur di kawasan setinggan dekat Taman Kenari, Sandakan pada 9 September, kes terbaharu konflik antara manusia dengan buaya di negeri ini.


Goossens berkata, DGFC sudah menjalankan tinjauan di seluruh negeri pada 2019 hingga 2020 untuk Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi kajian penemuan yang tidak merugikan (NDF).


DGFC ialah kemudahan kajian dan latihan kerjasama yang ditubuhkan di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Hilir Kinabatangan dan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Cardiff University.


Beliau berkata, kajian DGFC adalah untuk menilai sama ada pemburuan secara komersial dan mampan tidak akan menjejaskan populasi buaya di Sabah.


"Hasil kajian kami mencadangkan bahawa dalam tempoh 20 tahun lepas, tiada bukti ketara tentang peningkatan dalam saiz populasi keseluruhan buaya di Sabah dan tidak mungkin menjadi faktor penentu dalam sebarang peningkatan laporan konflik manusia-buaya.


"Hasil NDF juga jatuh di atas ambang yang menunjukkan bahawa pemburuan (walaupun pemburuan terkawal) akan menjejaskan populasi buaya di negeri ini.


"Satu-satunya pemburuan buaya yang mampan adalah di Sungai Kinabatangan, membolehkan pemburuan maksimum lima ekor buaya dewasa setahun di sungai itu," katanya menambah pemburuan di sungai lain di Sabah boleh menjejaskan populasi buaya.


Pada masa ini, buaya air masin ialah spesies dilindungi di Sabah dan pada 2016, Malaysia memindahkan status buaya air masin itu daripada Lampiran I kepada II, dengan pemburuan liar dihadkan kepada Sarawak dan sifar kuota untuk spesimen liar bagi negeri lain di Malaysia termasuk Sabah.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo