Slider

Isteri dakwa salah satu buah pinggangnya dijual suami tanpa pengetahuannya



Seorang wanita di kampung Kotameta di daerah Malkangiri mendakwa salah satu buah pinggangnya telah dijual oleh suami tanpa pengetahuannya atas alasan rawatan pada 2018. 


Mangsa, Ranjita Kundu, membuat laporan polis terhadap suaminya, Prasant Kundu dan kakak iparnya, Seema Nandi, pada Rabu lalu. 


Menurut Ranjita, dia hanya mengetahui buah pinggangnya dicuri selepas bertemu dengan doktor untuk merawat sakit perut yang dialaminya. Ketika menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan salah satu buah pinggangnya hilang. 


"Pada 2018, suami membawa saya ke hospital swasta di Bubhaneswar selepas saya disahkan menghidap batu karang dan perlu menjalani pembedahan. 


"Ketika menerima rawatan, suami mengambil keputusan untuk menjual buah pinggang saya kepada pesakit lain yang masuk ke hospital sama, tanpa meminta persetujuan saya.


"Saya tidak menyedari keseluruhan kejadian itu kerana saya telah diberi bius. Suami telah menjual buah pinggang saya kepada Asim Haldar dari salah sebuah kampung di daerah ini," katanya.


Jelas Ranjita, suaminya merupakan warga Bangladesh dan menetap di kampungnya sebagai penceroboh dan mereka telah mendirikan rumah tangga selama 12 tahun serta dikurniakan dua anak iaitu lelaki dan perempuan.


"Lapan bulan lalu, suami saya pergi ke Andhra Pradesh untuk bekerja dan berkahwin dengan seorang wanita. Kakak ipar pula menyokong segala perbuatan adiknya dan mengambil kesempatan untuk mendera saya. 


"Dia (suami) tinggalkan saya dan anak-anak. Sekarang, saya menumpang di rumah ibu bapa. Saya mahu menuntut keadilan," tegasnya. 


Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan tersebut dan kertas siasatan juga telah dibuka. 


"Insiden itu berlaku pada 2018 dan wanita itu membuat aduan selepas empat tahun kemudian. 


"Siasatan sedang dijalankan, suami dan kakak ipar pengadu akan dipanggil untuk siasatan dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya didapati bersalah," kata Inspektor Rigan Kindo.


none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo