Slider

Jemaah Menteri setuju ambil 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka



Jemaah Menteri bersetuju bagi pengambilan 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka dengan mengambil kira keadaan negara tersebut yang dilanda krisis ekonomi ketika ini.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.


Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Sept lepas bersetuju bagi pengambilan pekerja tersebut dan ia merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu negara Sri Lanka yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu.


"Saya menggesa pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan ini dengan menggajikan pekerja asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja asing," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Saravanan, majikan yang telah diberi kelulusan kuota dan telah menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang tersebut.


Beliau berkata, sehingga 14 Sept lepas, bayaran levi telah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja asing.


Saravanan berkata majikan yang berminat untuk mengambil pekerja asing boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM (oscksm@mohr.gov.my) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (jtksm@mohr.gov.my) untuk maklumat lanjut.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo