Slider

Kakitangan awam rugi RM41,000 disamun 3 warga Indonesia di kuarters kerajaan Presint 11



Sebuah keluarga mengalami kerugian kira-kira RM41,000 apabila kediaman mereka dipecah masuk oleh tiga lelaki dipercayai warga Indonesia bersenjatakan parang. 


Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu berlaku di kuarters yang didiami kakitangan awam berkenaan bersama isteri dan tiga anaknya berusia 9 hingga 22 tahun pada jam 3.30 pagi Rabu, 14 September 2022 di kuarters kerajaan di Presint 11.


Siasatan mendapati, mangsa dan isterinya terjaga dari tidur apabila lampu bilik dinyalakan oleh tiga suspek yang memakai pakaian gelap dan penutup muka ski serta salah seorang daripada suspek memegang sebilah parang. 


Pasangan itu kemudian diikat menggunakan tali sebelum mereka menyelongkar bilik tidur dan melarikan barang kemas berupakan dua utas gelang tangan, sebentuk cincin emas, seutas rantai leher, 20 utas jam tangan berjenama dan wang tunai sebanyak RM2,000 yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM41,000. 


Sebaik saja kesemua suspek melarikan diri, mangsa keluar dari rumah dan meminta bantuan dari anggota polis yang ketika itu sedang membuat rondaan. Anggota berkenaan kemudian menghubungi IPD Putrajaya untuk mendapatkan bantuan.


Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman itu mahupun di kawasan berhampiran serta laluan utama. 


Polis percaya, suspek masuk melalui pintu gelongsor berikutan pengadu memaklumkan pintu itu terbuka ketika dia turun untuk membuat pemeriksaan. 


"Polis masih menjalankan siasatan dengan bantuan unit forensik dan anjing pengesan manakala Op Tutup dijalankan sebaik kejadian bagi mengesan suspek," katanya.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo