Slider

'Kalau PM bubar Parlimen masa banjir, kita sanggup redah banjir untuk bertanding' - Zahid Hamidi



Beberapa hari lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyarankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada pertengahan November kerana negara berkemungkinan berdepan dengan bencana banjir besar disebabkan angin monsun timur laut aktif pada ketika itu. 


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN kelmarin memberi bayang PRU15 akan diadakan tidak lama lagi di mana Top Five UMNO akan berbincang mengenai tarikh tersebut. 


Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, PRU15 perlu diadakan segera dan tidak boleh ditunggu kerana ia akan memberi ruang kepada musuh untuk menyerang Barisan Nasional (BN) 


Beliau berkata, BN sanggup meredah banjir walaupun negara berdepan dengan bencana banjir besar pada November. 


"Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut. Tetapi kalau perdana menteri bubar masa banjir pun, (kita) sanggup redah banjir untuk bertanding," katanya dalam majlis yang sama. 


Dalam kenyataan Zahid hari ini, beliau berterusan mendesak PM membubarkan Parlimen kerana bimbang dengan musuh BN akan menggunakan peluang yang ada untuk memburukkan mereka. 


"Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi Ramli tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN. 


"Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak berjaya. Rekod 22 bulan Pakatan Harapan ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata," katanya melalui satu hantaran di Facebook. 


Tambahnya lagi, pembangkang membantah PRU15 diadakan pada musim tengkujuh kerana takut akan kalah.


Bagaimanapun, beberapa pemimpin pembangkang seperti Rafizi Ramli, Syed Syaddiq, Salahuddin Ayub, mengkritik kenyataan Presiden UMNO itu yang dilihat tidak peka dengan masalah mangsa banjir. 


Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa mendakwa, kenyataan Zahid telah disalah tafsir dan jelasnya, kenyataan itu sebenarnya merujuk kepada tahap kesiapsiagaan jentera BN untuk menghadapi PRU15. 


"Saya suka ambil pendirian positif mengenai kenyataan presiden Ahmad Zahid yang menekankan sudah siap siaga kalau PRU15 ketika banjir sekali pun, tidak semestinya maksudnya nak adakan PRU15 walaupun banjir.


"Saya tolong betulkan (salah tafsir), ia bukan soal nak adakan PRU15 ketika banjir. Kenyataan ini sudah disalah ertikan kerana ia (kenyataan) tidak dikeluarkan secara dasar," katanya.


Annuar berpandangan pelaksanaan PRU15 ketika musim tengkujuh sebagai suatu tindakan tidak sesuai, kerana bencana akan menjadi faktor penghalang kepada rakyat negara ini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.


"Apabila pilihan raya diadakan, aspek kemudahan untuk keluar mengundi, suasana aman dan persekitaran selamat perlu diambil kira.


"Kalau PRU15 diadakan ketika musim banjir, mesti nak selamatkan nyawa dulu kan? Mesti mahu selamatkan harta, rumah manakala pengangkutan mungkin jadi payah. Melihat kepada situasi ini, agaknya selari tak dengan prinsip mengadakan PRU bagi memberi peluang rakyat menggunakan haknya," kata Annuar.


Sumber: Bernama, Free Malaysia Today, MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo