Slider

'Kami hanya mampu mengalirkan air mata...' - Pengusaha kolam pancing terkilan, semua ikannya mati angkara perbuatan khianat



"Mohon doakan semoga kami dipermudahkan urusan," demikian luahan sayu pengusaha kolam pancing yang terpaksa berputih mata melihat kesemua ikan ternakannya mati, dipercayai diracun oleh individu yang tidak bertanggungjawab. 


Pengusaha Kolam Pancing Tok King Empire, Ezany berkata, sudah hampir dua tahun keluarganya mengusahakan kolam berkenaan yang didirikan di sebidang tanah pusaka. 


Tetapi segala-segalanya musnah sekelip mata disebabkan ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan khianat dengan menaburkan sesuatu pada kolam yang menyebabkan ikan-ikannya mati. 


"Adat berniaga baru nak maju dah terduduk. Kami sekeluarga hanya mampu mengalirkan air mata tanpa henti. 


"Kolam ini baru beroperasi hampir dua tahun. Antara spesis ikan yang menghuni kolam ini ikan mekong, chopraya, patin, pacu, rohu, lampam krai, talipia, jelawat dan lain-lain. Semuanya musnah sekelip mata dari sekecil-kecil ikan sehingga sebesar-besar ikan," katanya. 







Jelas Ezany, dia yakin kejadian itu didalangi oleh pihak yang dengki dan tidak senang duduk melihat kejayaan orang lain. 


"Kami sekeluarga hanya mampu mengalirkan air mata melihat bangkai-bangkai ikan. Mungkin rezeki kami sekeluarga sampai di sini.


"Buat ibu, banyak-banyak bersabar. Pengorbananmu terlalu besar untuk kolam yang juga sumber pendapatanmu. Semoga Allah hadirkan mereka yang ingin membantumu," katanya. 


Difahamkan, Ezany telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Turut disertakan gambar kehadiran anggota polis di premis tersebut untuk mengambil keterangan mereka. 




Sementara itu di ruangan komen Facebook Tok King Empire, ada netizen berpendapat kejadian itu mungkin bukan berpunca dari perbuatan khianat.


"Atas pengalaman saya, dua perkara yang boleh menyebabkan ia jadi begini. Pertama, kolam lama tak isi garam dan cuaca panas terik dalam seminggu dua, kemudian hujan lebat. 


"Tanda-tanda awal nak jadi macam ni dalam seminggu pertama di mana anak-anak ikan, udangg kecil dan ikan bersisik banyak timbul di sebelah pagi. Jika tidak dirawat, air akan jadi seperti yang dialami pengadu sebab air kolam dah berakali. 


"Dua, sifat racun ini biasanya, malam ini isi, esok pagi semua ikan akna timbul. Untuk merawat semula air, isilah garam kasar paling tidak 100 kg setiap enam bulan," kata Yus Rimba. 


Selain itu, netizen turut meluahkan rasa simpati mereka dan menasihatkan pengusaha kolam pancing berkenaan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan berlakunya perbuatan khianat. 


Sumber: Kolam Pancing Tok King Empire

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo