Slider

Keputusan siasatan kes kematian Adib akan dibentang kepada Kabinet September ini



Laporan Penuh Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan hadapan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia berikutan kerajaan telah menerima laporan penuh berkenaan daripada jawatankuasa yang memulakan proses siasatan sejak 21 Dis tahun lepas itu, semalam.


"Laporan Jawatankuasa Khas ini disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 31 Ogos 2022.


"Laporan yang disediakan ini telah mengambil kira pelbagai perspektif dan pandangan daripada pakar-pakar yang dilantik dan wakil kementerian, jabatan serta agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas berkenaan berkata Jawatankuasa Khas itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengenal pasti punca kematian termasuklah sesi temu bual saksi-saksi kes dan sesi penelitian dokumen-dokumen siasatan di War Room Jawatankuasa yang diadakan hampir setiap minggu.


Selain itu Wan Junaidi berkata Sesi Rekonstruksi Kejadian juga telah diadakan dengan semua agensi berkaitan bertujuan untuk membuat simulasi kejadian berdasarkan kepada rakaman litar tertutup (CCTV), rakaman-rakaman video serta keterangan daripada saksi-saksi kejadian.


"Adalah menjadi harapan kerajaan, agar laporan ini dapat menjawab persoalan orang ramai berhubung insiden ini.


"Kerajaan juga berharap agar laporan ini dapat dijadikan panduan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang di masa hadapan," katanya.


Pada 9 Okt tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Muhammad Adib.


Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Dis 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.


Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.


Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019. Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan.


Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.


Sumber: Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo