Slider

'Mak kerap menangis sejak hari pertama kehilangan kakak' - Adik luah rasa kecewa dengan kecaman netizen terhadap keluarga

Foto Zahasnah | Utusan Malaysia - Rohana Ismail

"Mak kerap menangis mengenang keadaan kakak yang entah ke mana, selain sedih dengan pelbagai berita tidak sahih disebarkan," demikian kata adik lelaki kepada mangsa culik sekumpulan lelaki di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan. 


Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, mereka sekeluarga kecewa dengan segala kecaman yang dilakukan oleh netizen, termasuk penyebaran berita tidak sahih mengenai kakaknya, Rosnazirah Mohd Naim, 36.  


"Mak menangis sejak hari pertama kehilangan kakak, kami juga risaukan keadaan mak kerana dia menghidap penyakit buah pinggang tahap lima dan perlu mendapatkan rawatan dialisis tiga hari seminggu. 


"Sehingga kini tiada khabar berita diterima mengenai kakak dan panggilan yang meminta wang tebusan juga tiada. Doakan agar kakak ditemui selamat," katanya. 


Rosnazirah diculik sekumpulan lelaki dipercayai ahli sindiket penyeludupan dadah pada jam 5.10 petang Selasa lalu. Saksi memaklumkan, mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand. 


Polis percaya mangsa diculik disebabkan berlakunya perselisihan di antara ahli sindiket dadah dan suami mangsa juga dipercayai terbabit dalam aktiviti itu, selain mempunyai dua rekod jenayah lampau. 


Suami mangsa telah ditahan bersama dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik itu, untuk membantu siasatan. 


Setakat ini, Polis Thailand telah membuat serbuan di sebuah rumah di pinggir Sungai Golok susulan mendapat maklumat rumah itu didiami oleh salah seorang suspek. 


Namun, hasil serbuan mendapati rumah itu kosong dan operasi mencari mangsa akan diteruskan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo