Slider

'Masih segar dalam ingatan, suami diculik sekumpulan lelaki & dibawa lari ke Thailand'



Kes ejen kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, dilarikan sekumpulan lelaki dan dibawa negara jiran, membuatkan Nur Azra Syazwani Abdullah, 29, teringat kembali kejadian yang menimpa suaminya yang sehingga kini masih tidak dapat ditemui. 


Menurut Nur Azra, di depan matanya sendiri, suaminya, Mohamad Aiman Zafri, 29, diculik sekumpulan lelaki dan dipercayai dibawa ke Thailand pada 5 Julai 2017 kerana disyaki terbabit dalam masalah hutang. 


Walaupun kejadian itu berlaku pada lima tahun lalu, namun suaminya diheret di depan mata masih lagi segar dalam ingatan. 


"Lima tahun saya menanti kepulangan suami yang sehingga kini tidak kunjung tiba dan sepi tahun berganti tahun. Dari anak berusia dua tahun ketika kejadian, kini anak sudah berusia tujuh tahun dan memasuki persekolahan tanpa kehadiran bapanya. 


"Segala-galanya masih segar dalam ingatan saya termasuk jeritan suami dipercayai dipukul sekumpulan lelaki yang menculiknya ketika mereka menghubungi saya. 


"Tiada apa yang diharapkan. Sekiranya benar suami saya meninggal dunia, buktikan kepada saya dengan hanya memberi satu jari sudah memadai sekiranya saya tidak dibenarkan melihat suami. 


"Nak kata saya masih berharap kepulangan suami pun tidak juga memandangkan sudah lima tahun berlalu, apatah lagi suami dibawa lari ke Thailand dan macam-macam boleh berlaku," katanya. 


Dalam kejadian 5 Julai 2017 jam 11.15 malam, pasangan berkenaan singgah di sebuah kedai runcit dan tiba-tiba didatangi sebuah kereta yang dinaiki tiga suspek yang memaksa suaminya masuk ke dalam kereta. 


Tidak beberapa lama selepas itu, Nur Azra menerima panggilan dari nombor tidak dikenali dari Thailand yang mendakwa suaminya berhutang dan meminta dia membayar wang tebusan sebanyak RM50,000. 


Sejak dari itu, Nur Azra kerap menghubungi pihak polis untuk bertanya mengenai perkembangan kes kehilangan suaminya. Tetapi, sejak tiga tahun lalu dia berhenti berbuat demikian kerana pihak berkuasa tidak menemui sebarang petunjuk. 


Menggulas mengenai kejadian yang menimpa Rosnazirah, dia enggan membaca sebarang berita mengenai kes itu kerana tidak mahu teringat kembali mengenai kejadian yang menimpa suaminya. 


Ditambah pula anaknya baru-baru ini bertanya bila bapanya akan pulang dan dia hanya mampu meminta anaknya terus berdoa agar bapanya pulang dengan izin Allah. 


"Walaupun harapan saya semakin tipis untuk melihat suami, namun saya sentiasa berdoa semoga segala urusan saya dan suami dipermudahkan," katanya. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo