Slider

Menteri Hal Ehwal Agama tegur Puteri Balqis dedah aib sendiri di media sosial, diselar Ahli Parlimen



Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad diselar dua Ahli Parlimen wanita yang tidak bersetuju dengan kenyataannya mengulas mengenai pendedahan pelakon, Puteri Balqis, 15, mengenai sikap buruk bapanya. 


Baca: 'Dia (Puteri Balqis) sepatutnya lapor pada polis, bukan dedah aib sendiri' - Menteri Hal Ehwal Agama


Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, Idris tidak wajar membuat kenyataan sedemikian yang boleh menjejaskan moral mangsa gangguan seksual, sekali gus menampakkan diri seolah-olah memandang ringan isu yang sedang tular. 


Semalam, Idris Ahmad berkata, Puteri Balqis sepatutnya melaporkan perbuatan bapanya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, bukannya mendedahkan aib sendiri dan ganggu seperti itu kepada orang ramai. 


"Apabila anda berada di kedudukan berkuasa meremehkan isu besar seumpama itu yang melanda kanak-kanak, ia menghantar mesej yang salah kepada pemangsa (seksual) dan menghampakan mangsa daripada bersuara. 


"Idris sebagai orang beragama sepatutnya mengutuk kejadian itu. Mangsa juga mempunyai hak untuk bercakap mengenai kejadian yang menimpanya. Menerusi tindakannya itu akan membuka jalan bagi mereka yang pernah mengalami kejadian sama untuk bersuara," katanya. 


Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, kenyataan Idris Ahmad itu mencerminkan sikap dan pemikiran mereka yang selalu menghalang mangsa untuk tampil membuat pendedahan. 


Tindakan Idris yang hanya menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis menunjukkan Idris tidak memahami penderitaan yang dialami Puteri Balqis yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh bapanya seperti yang didakwa. 


"Menteri ini benar-benar perlu menjalani latihan bagaimana untuk lebih empati," katanya. 


Sumber: Free Malaysia Today

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo