Slider

'Mohon MPKB-BRI sediakan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga... untuk majlis bekwoh' - Nik Abduh dikritik netizen



Tular di media sosial 22 September lalu, surat permohonan dari Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bachok, yang memohon bantuan dari Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI), mengundang banyak reaksi netizen. 


Surat yang dikeluarkan pada 20 September dari AHli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz itu memohon bantuan dari MPKB-BRI bagi melancarkan Majlis Bekwoh (Kenduri) Kesyukuran Keluarga Besar Nikmatillah, bersempena dengan perkahwinan anaknya pada 24 September di perkarangan Masjid Tok Guru.


"Sukacita dipohon kerjasama daripada pihak MPKB-BRI untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan penguatkuasa kawalan lalu lintas yang sewajarnya untuk melancarkan majlis tersebut," katanya dalam surat itu. 




Di media sosial, netizen mempersoalkan tindakan wakil rakyat terbabit yang dilihat seperti tidak wajar dilakukan kerana majlis yang dianjurkan itu adalah majlis peribadi, bukannya berkaitan dengan kerajaan. 


"Jauh betul dengan cara pimpinan Rasulullah dan para Sahabat. Eh sahabat siap padam lilin kerajaanlah bila nak buat kerja peribadi. Setara ini anak Tok Guru, buat malu keluargalah," kata Shah Hussin. 


Tetapi, ada yang berpendapat, permohonan yang dibuat oleh Nik Abduh itu adalah normal dan tidak salah untuk berbuat demikian. 


"Perkara ini biasa saja. Bila taman perumahan buat makan-makan pun, kami tulis surat kepada majlis mohon bantuan pungutan sampah dan roro disediakan semasa event. Baca tu, dia (Nik Abduh) mohon bantuan, tak salah pun. (Kalau) menteri UMNO, dah lama keluar arahan entah apa-apa," kata Shy Yusoff. 




Walaupun pandangan Shy Yusoff itu ada benarnya, tetapi tidak masuk akal apabila permohonan yang dibuat itu juga meminta penyediaan kerusi, meja dan bunga hiasan untuk majlis tersebut. 


Sementara itu, MPKB-BRI mengesahkan mereka menerima permohonan dari anak bekas menteri besar Kelantan itu. Tetapi, Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin, enggan menggulas lanjut dan hanya menjelaskan bahawa pihaknya masih belum memberi keputusan sama ada meluluskan permohonan itu atau sebaliknya. 


"Saya tak catat luluskan pun," katanya. 


Sumber: Twitter Rosly Yusof, MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo