Slider

OctaFX dimasukkan dalam senarai Amaran BNM, tetapi 2 dutanya masih diam membisu!



Sebut saja OctaFX, ramai yang mengakui mereka berasa 'semak' dengan iklan platform pelaburan itu yang banyak muncul di setiap media sosial terutamanya, YouTube. 


Lebih merimaskan apabila ada beberapa selebriti tanahair menjadi duta kepada pelaburan yang mencurigakan itu, antaranya Fizo Omar, Aliff Syukri dan Wak Doyok. 


29 Ogos lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memasukkan OctaFX dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan kerana disyaki menjalankan skim pelaburan haram. 


BNM tidak akan melindungi mana-mana pihak yang berurusan dengan OctaFX yang bukan di bawah kawalannya. Segala urusniaga atau pelaburan yang dilakukan bersama platform berkenaan adalah di atas risiko pihak itu sendiri. 


Harian Metro pada Rabu, 14 September 2022 melaporkan, dua duta OctaFX, Wak Doyok dan Fizo Omar, sehingga kini masih membisu mengenai perkara itu. 


Cubaan wartawan Harian Metro untuk menghubungi dua selebriti itu tidak berjaya apabila mesej dan panggilan telefon langsung tidak dijawab. 


Menurut portal Soya Cincau, Octa FX adalah sebuah broker antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan dagangan dalam talian di seluruh dunia sejak 2011. 


Ia dikatakan telah dikawal selia dan memegang lesen di luar negara tetapi menyediakan sokongan deposit dan pengeluaran ke akaun bank di Malaysia. 


Sumber: Harian Metro, Soya Cincau

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo