Slider

Pasangan kekasih muda ditemui maut dalam kereta diselubungi kanvas, polis siasat spekulasi cinta tidak direstui



Pasangan kekasih masing-masing berusia 16 dan 20 tahun ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah kereta Perodua Kancil milik bapa mangsa lelaki, awal pagi tadi. 

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, mayat pasangan itu ditemui oleh orang awam di dalam sebuah kereta di perkarangan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau pada jam 9.20 pagi.


Ketika ditemui, pasangan itu dalam keadaan lengkap berpakaian di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan di mana leher mangsa perempuan terlentok di bahu kiri mangsa lelaki dan kereta pula ditutup dengan kanvas. 


Polis percaya kedua-dua mangsa adalah pasangan kekasih. Mangsa remaja perempuan (pelajar tingkatan 4) itu telah dihantar ke kompleks berkenaan oleh rakannya untuk bertemu dengan mangsa lelaki (penganggur) pada jam 4 petang semalam. 


Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan percaya kedua-dua mangsa yang berasal dari Kuala Sungai Baru dan Lubok China itu meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida memandangkan pendingin hawa berada dalam keadaan terbuka serta kenderaan itu juga kehabisan minyak.


Turut ditemui dalam kenderaan, telefon bimbit mangsa dan botol minuman. 


"Setakat ini kita sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada kedua-dua ibu bapa si mati termasuk berapa lama mereka telah menjalinkan hubungan selain kemungkinan spekulasi cinta tidak direstui. 


"Kes disiasat sebagai kematian mengejut dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat," katanya. 


Sumber: Malaysia Gazette, Sinar Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo