Slider

Rosmah disabitkan bersalah atas pertuduhan meminta & menerima rasuah



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Rosmah Mansur bersalah atas tiga pertuduhan rasuah yang membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. 


Keputusan itu dibuat selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. 


Rosmah didapati bersalah atas semua pertuduhan dan Harian Metro melaporkan Rosmah akan mengemukakan rayuan. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Poh Yin  Tinn, manakala Rosmah pula diwakili Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jarjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork. 


Rosmah sebelum ini membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta pada 15 November 2018 di Mahkamah Sesyen, berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar berkenaan. 


Difahamkan, wang itu adalah sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. 


Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penajra maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo