Slider

'Tindakannya telah menyebabkan beliau tertekan & dicemuh masyarakat' - SM Faisal fail saman fitnah terhadap Caprice



Ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal dilaporkan telah memfailkan saman terhadap penyanyi, Caprice, yang didakwa telah memuat naik posting fitnah di Instagram yang mengaitkan beliau dengan kes bekas isteri, Emilia Hanafi. 


Plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lalu dan menamakan Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 36, sebagai defendan. 


Mengikutt pernyataan tuntutan, SM Faisal, 43, mendakwa pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintah Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah. 


Dakwa plaintif, insiden tersebut diuar-buarkan dan dimanipulasi oleh Emilia atau pihak tertentu dengan berniat jahat melalui media massa secara meluas tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif atau Mahkamah Syariah, berhubung kedudukan sebenar kes membabitkan plaintif dan bekas isterinya di Mahkamah Syariah. 


SM Faisal mendakwa, sehari selepas itu, defendan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah di Instagram defendan yang mendapat publisiti meluas kerana penyanyi berkenaan mempunyai 1.5 juta pengikut. Hantaran tersebut telah dilihatt atau disukai kira-kira 14,5000 orang. 


SM Faisal mendakwa, hantaran fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak. 


Tindakan defendan itu katanya telah menyebabkan beliau tertekan dari segi emosi, selain dicemuh dalam kalangan masyarakat umum. 


Ahli perniagaan itu mendakwa, pihaknya telah menghantar satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai lalu memohon defendan menarik balik hantaran itu, selain membuat permohonan maaf kepada plaintif. Tetapi, defendan gagal berbuat demikian. 


Turut dipohon, perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu, selain memohon perintah untuk menghalang defendan atau wakilnya daripada mengganggu dan mengugut plaintif serta ahli keluarganya, sama ada secara lisan atau melalui media sosial. 


Plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos. 


Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal mengesahkan pemfailan saman fitnah itu dan memaklumkan 14 Oktober ini untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Idah Ismail. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo