Slider

Tular memo arahan kutipan sumbangan RM30 sempena perkahwinan anak ketua polis



Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok dikritik netizen kerana memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kerusi meja dan hiasan bunga untuk majlis perkahwinan anaknya pada 24 September. 


Namun, pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengesahkan menerima surat permohonan dari anak bekas menteri besar Kelantan itu, tetapi enggan mengulas lanjut. 


Dua hari kemudian, tular memo dari kutipan sumbangan sempena perkahwinan anak Ketua Polis Kuala Lumpur di mana setiap seorang pegawai kanan ditetapkan menghulur sumbangan sebanyak RM30.00.


Berdasarkan sumber, memo itu dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (KBIPS) Putrajaya kepada semua ketua bahagian pada 1  September 2022. 


Semua pegawai kanan IPD Putrajaya ditetapkan menghulur sumbangan sebanyak RM30 kepada pegawai yang ditugaskan mengutip sumbangan itu selewat-lewatnya jam 5 petang, 1 September 2022. 


Hal itu mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial. Ada mendakwa, kutipan tersebut adalah sebagai hadiah perkahwinan tersebut dan tidak ramai pegawai kanan di IPD Putrajaya. 


"Biasanya kutipan seperti ini adalah untuk hadiah perkahwinan tersebut. Berapa orang je pegawai kanan di IPD Putrajaya dan kutipan melalui memo atau emel. Ini supaya nilai hadiah sama rata (RM30 seorang). Cubalah bersangka baik. Korang kat office tak kutip untuk majlis ahli pejabat ke?" soal Elkeffan. 


"Sumbangan tapi dah fixed RM30? Itu bukan sumbangan namanya, tapi macam yuran sekolah yang pelajar wajib bayar setiap tahun,"kata Divager. 


Sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut. 


Sumber: Twitter Syed Faris, The Vocket

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo