Slider

Wanita rancang pembunuhan suami bersama 4 lelaki, ditahan polis



Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan dalang utama dalam kes pembunuhan suaminya pada 15 September lalu di Taman Aneka Baru, Sungai Udang. 


Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa berusia 41 tahun ditemui maut dipercayai ditikam oleh sekumpulan lelaki yang mahu menyamun kediamannya. 


Polis kemudian mendapat panggilan yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara kumpulan terbabit dengan mangsa di rumah teres tersebut kira-kira jam 2.14 pagi. 


Sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian dan sebaik saja tiba, mereka mendapati mangsa terbaring berlumuran darah dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan. 


Menurut isteri mangsa, dua suspek lelaki berpakaian hitam dan bertopeng masuk ke rumah lalu menikam suaminya sebelum menggeledah kediaman serta mengambil pelbagai barang berharga seperti beg tangan berjenama, barangan kemas dan wang tunai RM40,000. 


Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan jenis BMW.


Bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat mangsa menemukan 14 kesan tikaman di bahagian badan yang menjadi punca kematiannya. 


Isteri mangsa juga ditahan pada hari yang sama dan siasatan lanjut mendapati wanita itu merupakan dalang utama dalam merancang pembunuhan suaminya sendiri kerana dendam serta kepentingan diri. 


Susulan dari penahanan suspek utama, empat lelaki yang terbabit dalam kes itu ditahan di sekitar Klang, Senawang dan Negeri Sembilan. Semakan mendapati mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau. 


Kesemua suspek direman selama lima hari dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo