Slider

Warga emas pangku cucu maut dalam kemalangan, polis sahkan mekanik pandu laju & tiada lesen



Kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Sidam Kiri, Sungai Petani kelmarin, mengorbankan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun, manakala cucunya cedera di bahagian dahi.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 5.30 petang yang menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala. 


Difahamkan, mangsa pada ketika itu duduk di kerusi penumpang belakang sambil memangku cucunya berusia setahun dan isterinya duduk di kerusi penumpang hadapan.


Siasatan awal mendapati, mangsa bersama dengan cucu, isteri menaiki kereta Proton Saga yang dipandu anak perempuan mereka dalam perjalanan menghala ke Sungai Petani dari Sidam Kiri. 


Tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Toyota Corolla yang dipandu dengan laju oleh mekanik berusia 18 tahun dikatakan hilang kawalan lalu merempuh bahagian kanan sebuah lori.


Rempuhan itu menyebabkan Toyota Corolla masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga yang dinaiki empat sekeluarga berkenaan dan penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak, lalu terjatuh. 


"Akibat daripada pelanggaran itu menyebabkan penumpang lelaki yang berada di tempat duduk belakang Proton Saga meninggal dunia, tiga yang lain termasuk bayi hanya mengalami kecederaan. 


"Pemandu Toyota Corolla didapati cedera di pinggang serta lutut kanan, manakala penunggang motosikal cedera kaki kanan dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. 


Pemeriksaan lanjut mendapati, mekanik terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan punca kemalangan berlaku disebabkan remaja terbabit memandu laju dan kenderaannya hilang kawalan. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo