Slider

Aliff Syukri mengaku tak bersalah atas pertuduhan upload video sumbang (Kelepok Raya) dengan niat menyakiti hati orang



April lalu, ahli perniagaan Aliff Syukri dikecam hebat di media sosial kerana memuat naik video muzik raya 'Kelepok Raya' yang didakwa bersifat jelik dan sumbang kerana memaparkan sekumpulan lelaki berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata, bertentangan dengan kemuliaan di bulan ramadan, serta seolah-olah cuba menormalisasikan golongan LGBT di negara ini.


Ekoran ramai yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bertindak dan membawa kes itu ke mahkamah menyebabkan ahli perniagaan terbabit berdepan dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988. 


Aliff yang datang ke Mahkamah Sepang hari ini bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik video bersifat sumbang di Instagram. 


Aliff membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil. 


Mengikut pertuduhan, Aliff selaku orang kena saman (OKS) didakwa telah memuat naik video bersifat sumbang itu secara sedar dengan niat untuk menyakitkan hati orang pada 13, 15, 17 dan 21 April lalu, yang dilihat pada 24 April di SKMM di Cyberjaya. 


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil, telah menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap OKS. 


Namun, Aliff yang diwakili peguambela Hasshahari Johari Mawi dan Awang Armadajaya, meminta jaminan dikurangkan kepada RM1,500 bagi kesemua pertuduhan atas alasan anak guamnya menyara isteri dan lima anaknya di mana  tiga masih bersekolah dan dua lagi anak masih kecil. 


Selain itu, Aliff katanya memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan berlangsung dan tidak pernah mengingkar arahan, serta tidak melarikan diri daripada undang-undang. 


Hakim Ahmad Rizki membenarkan OKS dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 25 November ini untuk tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen. 


Terdahulu sebelum pendakwaan berlangsung, pegawai Aliff bertindak mengambil gambar di dalam galeri awam dan akibatnya, telefon bimbitnya telah dirampas oleh polis mahkamah. 


Perbuatan pegawai Aliff itu merupakan satu kesalahan kerana menghina mahkamah. Namun, dia dilepaskan oleh Hakim selepas membuat permohonan maaf di atas perbuatannya itu. 


Sumber: Malaysia Gazette


Nak dapatkan info terkini? Join group Telegram The Reporter, KLIK SINI!

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo