Slider

Bapa pukul kepala, tampar muka & pulas telinga bayi 3 bulan sehingga mati

Foto Berita Harian



Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Mukim Padang Hang, kelmarin, lapor Berita Harian. 


Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya membuat serbuan ke rumah itu selepas mendapat laporan dari ibu mangsa. 


Hasil dari serbuan yang dilakukan pada jam 2.50 petang semalam, polis berjaya menahan suspek berusia 28 tahun dan menemui mayat bayi berkenaan. Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.


Suspek mengaku telah memukul kepala, menampar muka dan memulas telinga anaknya itu kerana mangsa selalu menangis serta tidak mahu minum susu. Suspek turut mendakwa dia tahu anaknya sudah mati dua hari sebelum ditahan.


Suspek direman selama seminggu untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Manakala mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat. 


Sementara itu isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Kamalia, 22, berkata, dia memaafkan suaminya tetapi mahu lelaki itu dikenakan tindakan undang-undang. 


"Sebagai isteri saya maafkan, tetapi berharap dia mendapat hukuman setimpal atas perbuatan dilakukannya terhadap anak kami.


"(Selepas insiden kerap dipukul suami dan diugut bunuh) saya terpaksa (melarikan diri) meninggalkan tiga anak, masing-masing dua perempuan berusia setahun dan enam tahun serta bayi lelaki yang baru berusia tiga bulan.


"Sejak itu, hampir setiap hari saya pergi ke balai polis untuk meminta pertolongan supaya anak-anak diselamatkan kerana bimbang sikap panas baran serta suami yang mungkin bertindak luar kawalan berikutan berada bawah pengaruh dadah," katanya yang kini menumpang berteduh di rumah saudaranya. 


Selepas beberapa hari kemudian, Kamalia dipanggil datang ke balai polis dan dimaklumkan bahawa anak bongsunya ditemui telah meninggal dunia di atas katil dalam bilik rumah mereka. Manakala dua lagi anaknya telah diserahkan kepada keluarga mentua untuk dijaga buat sementara waktu. 


Difahamkan, pasangan itu berkahwin sejak 2019 dan suspek mula menunjukkan sikap panas baran dan cemburu buta. Malah suspek selalu menuduh Kamalia menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. 


Sepanjang tempoh itu, Kamalia telah membuat enam laporan polis terhadap suaminya menyebabkan lelaki itu ditangkap beberapa kali. Namun disebabkan rasa kasihan dan suaminya berjanji akan berubah, membuatkan Kamalia menarik balik semua laporan itu.


Menurut Kamalia, dia percaya suaminya berperangai sedemikian kerana dipengaruhi dadah dan lelaki itu pernah menyebabkan kepalanya menerima 27 jahitan akibat dipukul, mata dicungkil dan tangan serta pahanya ditikam. 


"Semua itu berpunca daripada sikap cemburu suami sedangkan sejak kahwin, saya hanya berada di rumah yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk dia memantau pergerakan saya," katanya. 


Dalam kes terbaru, dia terpaksa melarikan diri dari rumah selepas mengetahui suaminya mahu membeli motosikal berkuasa besar dan dia diminat mencari penjamin. 


"Pemilik kedai memberitahunya bahawa isteri boleh dijadikan sebagai penjamin. Namun ketika pulang ke rumah, suami mempertikai dan menyoal kenapa saya perlu menjadi penjaminya.


"Suami mula membuat pelbagai tuduhan terhadap saya sebelum berlaku pertengkaran sehingga dia memukul kepala dan mengugut mahu membunuh saya," kataya. 


Sumber: Berita Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo