Slider

Budak 3 tahun maut, disyaki didera rakan bapa & pembantu rumah



Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut, disyaki didera oleh rakan bapanya dan pembantu rumah warga Indonesia dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Skudai, Johor Bahru. 


Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek lelaki berusia 28 tahun dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. Manakala, pembantu rumah warga Indonesia itu pula berusia 40 tahun. 


Difahamkan, bapa mangsa bekerja di Singapura dan ibunya pula bekerja di Yong Peng. Pasangan berkenaan telah meminta bantuan suspek lelaki yang bekerja sebagai jurujual untuk menjaga dua anaknya sejak tiga bulan lalu dengan bayaran RM2,800 sebulan. 


Difahamkan pada hari kejadian, suspek telah menghubungi bapa mangsa dan memaklumkan anak lelakinya telah meninggal dunia. Sebaik mendapat perkhabaran itu, bapa mangsa terus bergegas pulang dari Singapura dan membuat laporan polis. 


Bertindak di atas maklumat, polis terus menahan kedua-dua suspek pada tengah hari Ahad, 2 Oktober 2022 untuk siasatan lanjut. Turut dirampas beberapa barang bukti seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).


Polis akan memohon perintah reman terhadap kedua-dua suspek dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Pemeriksaan awal pada mayat mangsa mendapati, ada beberapa kesan kecederaan di badan, termasuk lebam dan kesan luka. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya. 


Sementara itu, adik perempuan mangsa yang berusia setahun, dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 


Sumber: Bernama, Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo