Slider

'Ini bukan silibus Radzi Jidin... silibus tak boleh tukar secara kerap' - Menteri Pendidikan



Beberapa hari lalu, Cikgu Mohd Fadli Salleh menjadi bualan netizen susulan pendedahannya mengenai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu mengambil tindakan tatatertib (buang kerja atau turun pangkat) susulan tindakannya meluahkan pandangan secara terbuka terhadap sistem pendidikan, sekali gus melanggar peraturan penjawat awam. 


Dalam pendedahan itu, guru berkenaan turut mengkritik silibus pembelajaran yang didakwa syok sendiri tanpa memikirkan keupayaan atau kemampuan murid untuk memahami apa yang diajar. Hal yang sama turut berlaku pada golongan ibu bapa yang mengakui tidak dapat mengajar anak masing-masing kerana tidak memahami silibus tersebut. 


Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menjelaskan bahawa, silibus yang digunakan di sekolah pada ketika ini bukanlah silibus baru. Sebaliknya ia mula digunakan sejak 2017 dan dibangunkan lebih awal dari itu. 


"Ini bukan silibus Radzi Jidin. Silibus ini mula digunakan pada 2017 dan untuk bangunkan silibus ini, ia ambil masa dan prosesnya bermula lebih lama daripada itu dan dibangunkan oleh guru dan pegawai pendidikan. 


"Selepas digubah, kita tak boleh tukar secara kerap kerana ia akan menyukarkan guru dan murid untuk menyesuaikan diri dengan silibus baharu. Pendekatan kita adalah setiap silibus akan dinilai semula selepas habis satu pusingan (Murid masuk Tahun 1 dan habis Tahun 6 dikira sebagai satu pusingan). 


"Apabila selesai pusingan ini, KPM akan meneliti semula silibus. Ini kita sedang laksanakan dan KPM menghargai pandangan guru dan ibu bapa berhubung isu silibus ini," katanya. 


Jelas Radzi, KPM tidak penah menutup ruang kepada guru untuk berkongsi sebarang pandangan bagi membolehkan banyak transformasi dilakukan. 


Dalam masa yang sama, Radzi tidak menafikan ada beberapa pemimpin politik cuba menjadikan kes Cikgu Mohd Fadli sebagai modal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Tetapi bagi Radzi, hal itu tidak wajar berlaku kerana semua pihak perlu bekerjasama untuk menambahbaik sistem pendidikan negara. 


"Kalau nak dipolitikkan, saya boleh kata silibus ini mula dari zaman Barisan Nasional (BN) pada 2017 dan terus berjalan ketika zaman Pakatan Harapan (PH) pada 2018. 


"Namun ini bukan caranya. Dalam pendidikan, kita perlu jauhkan daripada politik. Kita perlu tukar pendekatan dalam agenda pendidikan dan perlu bekerjasama untuk melakukan penambahbaikan," katanya. 


Sumber: Harian Metro, Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo