Slider

'Kita cuba cari tempat sesuai untuk KJ' - Tok Mat sah bertanding di Rembau



10 September lalu, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan pernah berkata kepada media, "Saya tak pernah cakap nak bertanding di mana-mana, cuma saya bagi tahu sudah sampai masanya untuk bertanding di peringkat Parlimen, di Parlimen mana suka hati sayalah. Saya Timbalan Presiden", susulan ada yang mendakwa beliau akan bertanding di kerusi Rembau di mana penyandangnya adalah Khairy Jamaluddin. 

Semalam, Mohamad Hasan berkata, UMNO akan mencari tempat yang sesuai untuk Khairy bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana tidak mahu anak muda itu 'hilang' begitu sahaja, memandangkan Khairy merupakan pemimpin muda yang berkaliber dan baik untuk negara. 


"Kita cuba cari tempat sesuai untuk beliau, untuk bertanding di PRU15. Itulah semangat kekeluargaan di Rembau, kami beradat. Alhamdulillah kita akan pastikan jentera di Rembau dipertingkatkan lagi, tiada isu kerusi Rembau lagi," katanya memetik laporan dari Bernama. 


Dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau semalam, Khairy berkata dia akan memberi laluan kepada Mohamad untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU15. Pengumuman mengenai perkara itu turut dimaklumkan pada hantarannya di Instagram. 


"Menyerahkan parlimen Rembau kepada Mohamad Hasan selepas tiga penggal sebagai MP. InsyaAllah Tok Mat akan menang besar dan terus menjaga Rembau dengan cemerlang," katanya. 


Sumber: Bernama, MalaysiaKini


Nak dapatkan info terkini? Join group Telegram The Reporter, KLIK SINI!

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo