Slider

'Memalukan bila guna kaum, agama setiap kali pilihan raya' - Pemerhati Politik



Sudah sampai waktunya pengundi memilih tidak berdasarkan kaum dan sentimen agama sempit. Sudah sampai ketikanya pengundi memilih berdasarkan merit, ketokohan calon, dan parti berwibawa untuk membina Malaysia yang maju.


Parti berwibawa ialah parti yang pemimpinnya tidak korup, tidak rasis, mampu menarik keyakinan pelabur, mempunyai idea, wawasan dan semangat Malaysia, dan dapat mengangkat Malaysia di pentas antarabangsa.


Saya tidak mengharapkan hal ini kepada pengundi 40 tahun ke atas kerana mereka sudah mempunyai pandangan politik yang tetap terhadap parti yang hendak disokong. Tetapi bagi pengundi muda yang berumur 18-20 tahun, 21-29 tahun dan 30-39 tahun, saya mempunyai harapan yang besar terhadap mereka.


Setakat bilangan pengundi yang diwartakan sehingga 16 Jun 2022, daripada jumlah pengundi seramai 21,115,934 orang, pengundi berumur 18-20 tahun adalah seramai 1,141,699 (5.4 peratus), 21-29 tahun seramai 4,974,627 (23.56 peratus), dan 30-39 tahun seramai 4,705,278 (22.28 peratus).


Jika dicampurkan jumlah pengundi muda 18-39 tahun, peratusan mereka ialah 51.24 peratus. Peratusan ini tinggi dan sangat signifikan dalam menentukan parti yang menang dalam pilihan raya nanti, sekali gus hala tuju bangsa ini.


Pengundi muda ini cerdik, celik teknologi maklumat, terdedah kepada media sosial, dan peka kepada isu-isu semasa. Biarpun ramai yang menyatakan pengundi 18-20 tahun akan mengundi mengikut kecenderungan politik ibu bapa dan rakan sebaya, mereka adalah pengundi bermaklumat. Mereka cerdik dalam menentukan apa yang terbaik untuk negara dan masa depan mereka.


Saya berharap pengundi muda ini menolak politik perkauman dan politik keagamaan yang sempit. Demi negara, saya harap mereka berani melakukan introspeksi nasional tanpa dipisahkan oleh perbezaan kaum dan agama.


Jangan biarkan diri diperkotak-katik oleh perbezaan ini oleh ahli-ahli politik. Terima realiti kita sebagai negara majmuk.


Bagi saya, sikap orang politik yang memperdagangkan bangsa dan agama setiap kali pilihan raya memalukan. Ini menggagalkan usaha untuk membina Malaysia yang hebat sedangkan merekalah yang berdegar-degar berjanji untuk membina hubungan rakyat yang harmoni.


Jika ada parti yang mendakwa memperjuangkan bangsa Melayu, sejauh manakah bangsa ini maju sekarang? Yang kita tahu setiap kali pilihan raya, parti inilah yang menggunakan orang desa dengan sentimen perkauman untuk mendapat sokongan.


Begitu juga parti agama, saya melihat kata-kata pemimpinnya penuh dengan sentimen dan emosi. Dan pembangunan negeri di bawah terajunya pun tidak boleh dijadikan contoh. Pandangan politiknya banyak yang memecah-belahkan masyarakat, bukannya menyatukan.


Saya kali ini tegas menolak parti sebegini. Kerana bagi saya parti yang hebat ialah parti yang komited menempatkan kepentingan negara multietnik ini di atas kepentingan parti.


Saya harap anak muda juga begitu, melakukan introspeksi nasional bagi membangunkan Malaysia yang hebat, berdaya saing, dan harmoni.


MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah seorang cendekiawan dan pemerhati politik.


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo