Slider

Najib masih boleh hadir ke Parlimen jika dibenarkan oleh Jabatan Penjara - Speaker



PARLIMEN - Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin bertanya adakah Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak, yang telah dipenjara 12 tahun boleh dibawa ke Dewan Rakyat dalam keadaan bergari untuk 'dilihat oleh semua'. 


Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menjawab, Najib masih dibenarkan untuk menghadiri persidangan Parlimen. Tetapi perkara itu berlaku jika mendapat kebenaran dari Jabatan Penjara. 


Jelas Azhar, prinsip umum ialah semua Ahli Parlimen dibenarkan memasuki Dewan Rakyat dan dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka. Namun, persoalan sama ada boleh hadir atau tidak bukanlah di bawah kuasanya. 


"Itu bukan bidang kuasa saya kerana dia bukan dalam jagaan saya. Dia dalam tahanan Jabatan Penjara. Jadi, terpulang kepada mereka untuk melepaskannya daripada tahanan mereka,"katanya. 


Jelasnya lagi, sekiranya Jabatan Penjara membenarkan Najib keluar dari penjara untuk menghadiri sesi Parlimen, syarat dan peraturan tertentu boleh dikenakan. 


Jawapan yang diberi itu mengundang persoalan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berhubung status Najib sebagai Ahli Parlimen yang tidak terbatal sehingga kini. 


Menjawab soalan itu, Azhar berkata, Hukum sebagaimana adanya, bukan sebagaimana semestinya dan tidak pula sebagaimana ia sepatutnya."


Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menetapkan, seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000. 


Walau bagaimanapun, jika petisyen untuk pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, di bawah Perkara 48 (4)(c). 


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo