Slider

Najib mohon hadir ke sidang Parlimen, tetapi ditolak oleh Jabatan Penjara



Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak yang dipenjara 12 tahun atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, dilaporkan ada membuat permohonan pada 19 September lalu untuk hadir pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada hari ini. 


Jabatan Penjara bagaimanapun, menolak permohonan bekas perdana menteri itu atas faktor keselamatan. 


Keputusan Jabatan Penjara itu mengundang persoalan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menurutnya pelik kerana Parlimen lebih selamat berbanding mahkamah. 


"Saya rasa sangat pelik kerana sebenarnya Parlimen lagi selamat dari mahkamah, kerana di bangunan ini (mahkamah), beliau terdedah kepada orang awam. Jika beliau ke tandas, ia adalah tandas awam. 


"Bagaimana boleh ada isu keselamatan di Parlimen? Di sana ada pengawal keselamatan sendiri, penjara dan polis pula akan memastikan keselamatan tambahan kepadanya," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Isnin. 


Difahamkan, Shafee akan membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dan speaker Dewan Rakyat. Sekiranya pada jam 12 tengah hari masih belum menerima jawapan, pihaknya akan memfailkan semakan kehakiman bagi membetulkan kesilapan yang dibuat oleh penjara melalui keputusan itu. 


Untuk itu, pihaknya perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Mahkamah Tinggi sebelum boleh memulakan semakan kehakiman. 


Tegas Shafee, Najib masih lagi Ahli Parlimen dan perlu diberi hak untuk hadir pada sidang parlimen, yang turut akan mendengar pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober, Jumaat ini. 


Selain itu, Shafee memaklumkan pihaknya ada memaklumkan kepada penjara untuk membenarkan pembantu politik melawat Najib bagi mendapatkan arahan mengenai apa yang perlu dilakukan agar rakyat di kawasannya terus mendapat perkhidmatannya. 


Ini termasuk memohon untuk membenarkan Najib diiringi ke kawasan Parlimen Pekan untuk mendengar keluh kesah penduduk dan kemudian diwakilkan kepada pembantu untuk menyelesaikan masalah atau memberi bantuan. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo