Slider

Nazri Aziz tak bertanding di PRU15, kembali ke bidang perundangan & perniagaan



Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, akan kembali ke bidang perundangan dan menjalankan perniagaan selepas memutuskan untuk tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Pada masa sama, beliau mengesahkan akan terus menjadi ahli UMNO kerana parti itu sudah menjadi darah dagingnya.


"Sudah 30 tahun menjalani kehidupan di mata umum dan tempoh itu sudah terlalu lama, kini tiba masanya memberi laluan kepada generasi muda," katanya yang dipetik FMT.


Mohamed Nazri berkata, beliau akan turun padang di kawasan Padang Rengas untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) serta dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana beliau adalah pengerusi gabungan di kawasan berkenaan.


"Pada pilihan raya lalu, BN tidak memenangi kerusi berkenaan secara mutlak kerana gabungan undi daripada PAS dan Pakatan Harapan (PH) lebih tinggi daripada apa yang kita dapat.


"Sekarang, PAS dan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) berada dalam gabungan, undi PH akan diberikan kepada calon Perikatan Nasional (PN).


"Jadi, saya akan buat sebaiknya bagi memastikan jentera lama saya melakukan yang terbaik dan dapat menghalang mereka (daripada menang)," katanya.


Pada pemilihan 2018, Mohamed Nazri mendapat 10,491 undi, manakala pesaing terdekatnya daripada PKR iaitu Ejazi Yahaya, memperoleh 7,934 undi.


Selain itu calon PAS, Mohd Azalan Mohd Radzi pula mendapat 6,847 undi , manakala Ahmad Affandi Fairuz (KITA) mendapat 1,380 undi.


Pada Januari lalu, Mohamed Nazri mendedahkan beliau ditawarkan untuk menjadi duta ke Switzerland pada 2019, namun menolak tawaran berkenaan kerana harus meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.


Pada Ogos, beliau mengumumkan untuk berhenti daripada bidang politik bagi memberi laluan kepada pemimpin belia.


Mohamed Nazri memulakan perjalanan politiknya pada 1978 pada usia 24 tahun apabila dilantik sebagai EXCO Pemuda UMNO dan dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO pada 1993.


Beliau adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selama 28 tahun dari 1990 hingga 2018 dan pernah dilantik Ahli Dewan Negara pada 1991 hingga 1995.


Mohamed Nazri berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013 hingga 2018).


Sumber: Berita Harian

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo