Slider

PH enggan bubar DUN kerana takut hilang kuasa - Zahid



Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umun Ke-15 (PRU15). 


Ini kerana pihaknya enggan membebankan rakyat yang dijangka bakal berdepan dengan masalah banjir yang diramal akan melanda negara ini pada pertengahan November. 


Begitu juga dengan PAS yang menyatakan pendirian yang sama berhubung tiga negara di bawah kepimpinannya iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan yang lazimnya terjejas dengan ketara semasa musim tengkujuh. 


Pengumuman dua pihak berkenaan mengundang ketidakpuasan hati Presiden UMNO, Zahid Hamidi, berikutan Parlimen telah dibubarkan semalam untuk membolehkan rakyat mengundi kerajaan pilihan mereka di PRU15. 


Zahid menyifatkan, tindakan PH itu sebagai tamak kuasa dan takut kehilangan kuasa dengan menuduh Barisan Nasional (BN) sebagai tamak. 


"Enggan menyerah kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baru kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan. Sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir kehilangan kuasa. 


"BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN. Namun itu bukan tujuan politik BN," katanya. 


Zahid turut berkata, alasan pembangkang membantah PRU15 diadakan tahun ini kerana bimbang dengan bencana banjir, adalah tidak relevan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan PRU15 berlangsung sebelum pertengahan November. 


"Sesebuah pilihan raya termasuk PRU-15 bermaksud menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baru.


"Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak.


"PRU15 bukan 'upacara' menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan," katanya.


Sumber: MalaysiaKini

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo