Slider

PM Ismail akui Bajet 2023 adalah janji BN kepada rakyat jika menang PRU15



Perdana Menteri (Sementara) Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kenyataannya berhubung pemecatan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) dari Kabinet Kerajaan kerana menghantar surat bantahan pembubaran Parlimen, adalah sekadar berseloroh sahaja. 


Terdahulu media melaporkan Ismail mengungkap kata-kata itu semasa memberi ucapan di majlis solidariti bersama 3,000 pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk. 


"Dalam hal ini, kalau saya serius.. menteri-menteri PN sudah kena pecat. Tetapi mereka masih ada dalam Kabinet. Saya tak pecat, itu maksudnya saya berselorohlah," katanya. 


Semalam, salah seorang anggota Kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abd Latiff Ahmad mengakui terkilan dkerana kenyataan seperti itu tidak wajar disebut dalam ucapan biarpun disampai secarra gurauan dan sinikal. 


Sementara itu, Ismail berkata segala intipati di dalam Bajet 2023 yang dibentang di Parlimen adalah 'janji' yang akan dan mampu dilaksana dari segi kewangan, berbeza dengan manifesto.


Perdana Menteri berkata, bajet tidak boleh 'ditipu' dan semua yang dijanjikan telah dikaji secara teliti sebelum dibentang di hadapan Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia.


"Manifesto ini macam-macam boleh, langit dan bintang semua dia janji, kalau boleh bulan tu nak dibawa jatuh ke riba, tetapi cukuplah sekali terkena, jangan kita lupa dahulu macam-macam janji dalam manifesto mereka.


"Tetapi bila kita bentang bajet, duit dah tersedia, ini bezanya. Kita bukan janji kosong, duit dah ada, kita dah bincang dari segi kewangan, mencukupi atau tidak…kita dah siap sedia kewangan cuma tunggu kelulusan, ini beza bajet dan manifesto," kata beliau.


Ismail Sabri bagaimanapun mengakui walaupun bajet itu telah dibentang di Parlimen, ia masih 'tergantung' dan menunggu kelulusan Ahli Parlimen.


"Jadi tergantung, kita boleh selesaikan masalah tergantung ini, kuasa di tangan tuan-tuan dan puan-puan, pastikan lepas PRU15, perdana menteri yang sama, kabinet yang baharu dibentuk di bawah saya…insya-Allah bajet yang kita luluskan akan dibentang semula dan diluluskan dalam kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti," kata beliau.


Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Okt lepas, sebelum Parlimen dibubarkan tiga hari kemudian.


Mengenai Bajet 2023, Ismail Sabri berkata antara lain kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.8 bilion untuk pemberian bantuan tunai yang akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima, iaitu jumlah peruntukan dan penerima terbesar dalam sejarah.


"Kita jaga kepentingan rakyat. Selaku menteri yang lama dalam Barisan Nasional, tanggungjawab kita jelas iaitu untuk memperkasakan dan membela kepentingan rakyat di akar umbi ini," kata beliau.


Sementara itu, mengenai Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB), Ismail Sabri berkata, ia diperkenalkan kerajaan dalam usaha mengimbangi kesan pembangunan pesat dan komuniti bandar selain bagi meningkatkan kesejahteraan sosial dan memperkukuhkan keharmonian dalam komuniti.


"Pelaksanaan PKKB dibuat setelah mengambil kira kepentingan semua lapisan dan menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO)," kata beliau.


Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah memperuntukan sebanyak RM2.25 juta bagi pelaksanaan PKKB di Semenanjung Malaysia dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.


Sumber: Harian Metro, Bernama

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo