Slider

Rokiah akui pernah terlanjur dengan lelaki tua, tetapi kini sudah insaf

Foto Hiasan



Rokiah, 23, mengakui pernah terlanjur dengan lelaki tua yang dikenalinya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang pada awal tahun ini semasa menjadi sukarelawan dan tanpa sedar dirinya sudah merosakkan rumah tangga wanita lain. 


Bagaimanapun perbuatan tidak bermoral mereka itu berjaya dihidu oleh isteri lelaki berkenaan yang kemudian membuat laporan. 


"Saya benar-benar insaf selepas pernah dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki berusia 46 tahun. Saya kemudian ditempatkan di Pusat Pelindungan Wanita Baitul Ehsan untuk pemulihan," katanya. 


Pada awal perkenalan dengan lelaki durjana itu, Rokiah dikaburi dengan pelbagai kata-kata janji manis sebelum terlanjur dan akhirnya diketahui oleh isteri lelaki terbabit.


Dari situ, barulah dia mengetahui lelaki tua berkenaan sudah berumah tangga. Pada waktu itu juga, Rokiah sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta dan berada di tahun akhir. 


Ahli keluarganya tidak mengetahui kejadian itu sehinggalah sampai ke pengetahuan mereka. 


Difahamkan, Rokiah pada awalnya enggan menuruti kehendak ibu bapanya untuk memasukkan dia ke Baitul Ehsan. Tetapi, dia akhirnya akur dan kehidupannya kini telah berubah ke arah kebaikan dan banyak mempelajari agama. 


"Suasana di sini mengubah kehidupan saya sepenuhnya terutama soal agama. Daripada jarang mengerjakan sembahyang, kini saya terapkan disiplin solat di awal waktu. 


"Walaupun kehilangan ramai kawan selepas kejadian khalwat tu, ia tidak mematahkan semangat unttuk saya meneruskan kehidupan," katanya yang juga berhasrat menjadi askar. 


Rokiah adalah antara 20 pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang diraikan dalam majlis Hari Kecemerlangan Pelatih Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin dan Penguasa Baitul Ehsan, Nazatulshima Osman. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo