Slider

'Saya tak akan maafkan dia sampai bila-bila' - Isteri mangsa maut dalam pergaduhan dengan suspek pencuri kelapa sawit



Seorang lelaki dilaporkan maut selepas terbabit dalam pergaduhan dengan seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di Kampung Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, petang kelmarin. 


Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Hudri Mohd Arshad berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 5 petang yan memaklumkan mangsa berusia 47 tahun itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian. 


Susulan kejadian itu, seorang suspek berusia lingkungan 40-an telah ditahan dan direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.


Siasatan awal mendapati, terdapat empat penduduk tempatan semasa kejadian yang cuba meleraikan pergaduhan itu. Selepas dileraikan, mangsa dikatakan berjalan menuju ke motosikalnya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan telah meninggal dunia.


Siasatan di lokasi tidak menemui sebarang senjata dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Ipoh untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Sementara itu, isteri mangsa, Sarimah Ahmad, 51, berkata dia tidak akan memaafkan suspek sampai bila-bila dan nekad menuntut keadilan untuk suaminya. 


"Saya tak akan maafkan dia sampai bila-bila. Saya mahukan keadilan dan berharap dia menerima hukuman setimpal," katanya yang masih belum dapat menerima kenyataan tragedi yang menimpa suaminya, Mahadzeb Salleh. 


Menurut Sarimah, suaminya pernah mengadu mengenai suspek yang kerap mencuri kelapa sawit milik keluarganya. Teguran dan nasihat telah dibuat tetapi suspek masih mengulangi perbuatan itu. 


"Namun semalam arwah terserempak dengan suspek di tengah jalan dan berlaku pergelutan. Sebaik mendapat perkhabaran itu, saya dan anak terus pergi ke lokasi itu yang tidak jauh dari rumah dan mendapati arwah suami sudah rebah dan tidak sedarkan diri," katanya. 


Pemergian mangsa meninggalkan seorang balu dan dua anak yang masih bersekolah. 


Menurut seorang saksi berkata, ketika melalui tempat kejadian, dia ternampak kelibat mangsa dan suspek di dalam parit yang disangka sedang mengutip kangkung.


"Rupanya orang bergaduh. Saya bersama beberapa penduduk segera meleraikan pergaduhan itu dan sebaik kedua-duanya dileraikan, mangsa jatuh terlentang berhampiran motosikalnya sebelum disahkan meninggal dunia," katanya. 


Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan pada jam 4.43 petang di Tanah Perkuburan Masjid Parti Tok Ngah Atas. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo