Slider

'Tak ada sebut nama Caprice, kenapa dia nak terasa?' - Pengarah Urusan Mydin



Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin hairan dengan kenyataan selebriti Caprice yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihaknya hanya kerana ciapan di Twitter @mydinmalaysia yang langsung tidak menyebut namanya. 


"Kami tak ada sebut nama Caprice atau tag Caprice dalam hantaran kami. Kenapa dia nak terasa?," katanya. 


Beliau yakin pihaknya tidak membuat sebarang kesalahan seperti yang didakwa, malah tiada sebarang unsur perlian atau menghina mana-mana individu. 


"Siapa makan cili, dia yang rasa pedas. Kalau betul Caprice nak saman, hantar surat saman kepada pihak kami, biar peguam saya buat semakkan," katanya memetik laporan dari Kosmo Online, Khamis, 20 Oktober 2022. 


Caprice semalam mengeluarkan kenyataan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Mydin yang didakwa memuat naik ciapan yang menyindirnya di Twitter. 


Untuk itu, Caprice memberi tempoh 24 jam kepada Mydin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam bentuk video. 


Mydin bagaimanapun pagi tadi dilihat tidak berminat untuk memohon maaf dan sebaliknya memuat naik ciapan terbaru dengan 'menasihati' pelanggannya tidak mencampurkan terlalu banyak cili dalam masakan kerana takut 'pedas' sangat. 


Sumber: Kosmo Online

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo