Slider

'Tak merasa pakai gelang emas pulut dakap' - Penjawat awam rugi RM12,550 ditipu scammer Facebook



Orang ramai terutamanya golongan wanita selalu diingatkan jangan mudah terpengaruh dengan sebarang iklan di media sosial yang menawarkan harga murah bagi pelbagai jenis barangan seperti produk kosmetik, barang kemas dan sebagainya. 


Malangnya sehingga ke hari ini, masih ada yang dikesan sengaja 'menyerahkan tengkuk' kepada penjenayah siber, scammer, semata-mata terlalu mengikut kehendak hawa nafsu untuk membeli. 


Terkini, seorang penjawat awam (wanita) yang berusia 45 tahun di Sibu, terpaksa berputih mata apabila wangnya sebanyak RM12,550 telah dilarikan oleh scammer. 


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya ada menerima laporan dari mangsa berhubung kes tersebut pada 2 Oktober lalu.


Difahamkan, mangsa mengenali suspek melalui Facebook sebelum dia bersetuju membuat pembelian seutas gelang emas (pulut dakap) bernilai RM12,550 dari suspek.


Mangsa telah selesai membuat pembayaran secara bulan dari Januari hingga Mac lalu. Tetapi sehingga ke hari ini, dia masih belum menerima gelang tangan tersebut. Cubaan untuk menghubungi suspek juga sia-sia, suspek memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah. 


"Mangsa melakukan beberapa transaksi ke akaun bank diberi suspek. Malah suspek berjanji akan mengepos barang kemas itu ke alamat diberi mangsa. 


"Selepas pembayaran dibuat, mangsa menghubungi suspek. Namun pelbagai alasan diberi dan barang kemas yang ditempah masih belum diterima sehingga kini," katanya. 


Polis telah membuka kertas siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo