Slider

Wanita sarat mengandung maut ketika cuba mengelak ular tiba-tiba melintas



Seorang wanita sarat mengandung dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dalam kejadian di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang, Jalan Jeniang Sik-Pedu, semalam.


Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 4.30 petang itu yang membabitkan sebuah motosikal Honda Wave Alpha dan kereta Perodua Axia. 


Mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, menunggang motosikal bersama seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari arah Sekolah Menengah Sik menghala ke rumahnya di Bandar Baru Beris Jaya. 


Tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak seekor ular yang melintas secara tiba-tiba di bahu kiri jalan menyebabkan motosikalnya memasuki laluan bertentangan lalu berlaku pelanggaran dengan bahagian sebelah kiri Perodua Axia dipandu oleh seorang wanita berusia 61 tahun. 


Akibat dari kejadian itu, pembonceng motosikal mengalami calar di tangan kanan, manakala ibu hamil berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu Axia pula tidak mengalami sebarang kecederaan. 


Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan. Mayat Nor Hidayah disahkan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk mukanya sebelum dihantar ke hospital sama untuk menyelamatkan bayinya. 


Sebaik saja bayi mangsa berjaya diselamatkan, bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut. 


Mayat ibunya kemudian diserahkkan kepada Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Sumber: Harian Metro

none
Copyright © 2009 - 2022 The Reporter
Made with by Templates Zoo